Bab 7 – Itulah Manusia

Pulang dari kerja sekitar jam 6 petang itu aku sudah keletihan; sangat letih sehinggakan aku tidak sedar bahawa aku tertidur dengan masih memakai pakaian yang samaku gunakan untuk ke tempat kerja hari ini. Kerana sudah tidur lebih awal dari biasa, sekarang sudah hampir pukul 10 malam pun mataku langsung cerlang. Aku malas termenung saja. Jadi aku bingkas mengemas pinggan mangkuk di atas meja belajar yang telahku gunakan lalu mencucinya bersih dan kemudianku simpan lagi dengan teratur. Pakaian di almari sudah sedia teratur semuanya kerana beberapa hari yang lalu telahku kemas sebaik sahaja menghuni blok E yang terpencil ini.


 

Andai dapat digambarkan, apabila disingkap tirai yang menutup jendela cermin bilik kami maka akan terlihatlah pokok-pokok menghijau seakan hutan belantara. Hanya kami tidak pasti betapa tebal atau tidak saja keadaan hutan itu. Bilik ini kelihatannya agak usang berbanding bilik-bilik lain yang pernahku huni sebelumnya. Begitu juga perabotnya, kemudahan seperti tandas, bilik mandi dan beberapa perkara lain. Namun boleh dikatakan agak selesa kerana ada perkhidmatan mesin dobi layan diri. Jadi, tidak perlulah aku kuatir bilik dilanda 'banjir' setiap kali mencuci pakaian. Tempat ampaian baju yang agak jauh dari bilik juga menambah lagi kesulitan. Terpaksalah aku hanya menyangkut pakaian basah di bilik sahaja.


 

Kak Hani yang pulang ke kampung saat ini pasti sudah berehat-rehat bersama keluarganya kerana telah bergerak awal-awal pagi lagi, kuatir perjalanannya kemalaman. Kehadiran insan-insan baru dengan perwatakkan yang berbeza juga datang dari latarbelakang kehidupan keluarga yang berbeza memberi seribu hikmah kepadaku. Begitulah juga ceritanya apabila Kak Hani muncul dalam novel hidupku. Sebenarnya pada awal pagi ketika kami sama-sama berpindah ke blok C, kami sudah terserempak sesama sendiri di jalan. Mungkin kerana masing-masing sibuk membawa barang untuk berpindah blok, jadi kami tidak bertegur-sapa. Namun kehendak Allah SWT tiada siapa dapat menghalang. Rupa-rupanya Allah SWT mencuit hati kami. Itulah pertama kali kami bertemu.


 

"Eh.. dia ni agaknya roommate baru aku…"


 

~@}---


 

Kesepian malam yang mendamaikan. Saat ini memang waktunya yang amat mencengkam hati Sakinah. Hatinya yang sangat lembut itu mulai menitiskan airmata pula. Dia masih ingat akan peristiwa perjalanan hujung minggunya yang lalu. Bersama para sahabat NasyidFM yang baru ditemui kali pertama itu, Adila serta Kak Isma, mereka mengambil pengangkutan awam untuk ke Ekspo Jom Halal di Stadium Kajang. Malam itu ada persembahan nasyid dan sambil itu dapatlah 'cuci mata' menjenguk-jenguk gerai yang menjual pelbagai produk halal. Itulah pertama kali aku mencecah kaki ke Kajang setelah 3 bulan bekerja di UKM Bangi yang hanya beberapa minit sahaja perjalanannya dari Kajang ini.


 

Suasananya sangat sesak, maklumlah hujung minggu. Terpaksalah berdiri sahaja di dalam KTM komuter ini. Tidak mengapa kerana perjalanannya hanya dari KTM UKM ke Kajang tidak begitu jauh. Sakinah yang berdiri terlalu hampir dengan Kak Isma dan Adila hanya melempar pandangan ke luar tingkap komuter yang bergerak sekejap laju sekejap perlahan. Tidak lama kemudian terdengar suara pemberitahuan destinasi seterusnya yang semakin hampir. Apabila komuter terhenti, pintu terbuka dan berebut-rebutlah manusia yang keluar dari perut komuter ini. Begitu selesai manusia yang keluar, manusia yang masuk pula berpusu-pusu mengejar tempat duduk andai terdapat yang kosong.

"Abang nampak, dik. Abang nampak,"tiba-tiba suara lelaki cacat ini mengatasi suasana hiruk komuter.

"Takdelah, bang. Diorang tu dah kawin agaknya,"sangkal seorang lelaki yang disebelahnya seorang lagi berkopiah putih. Di dada masing-masing tergantung kad matrik Universiti Islam Antarabangsa.


 

"Abang nampak, dik. Diorang berpegang-pegang tangan. Adik Nampak diorang tu macam sudah berkahwin ke?"


 

Pertanyaan yang sangat pasti dari lelaki cacat itu tadi membuatkan kedua-dua pelajar UIA Gombak itu tergamam. Tersipu-sipu juga dia kemudian tersenyum sinis sesama sendiri. Sudah pasti mereka tahu status pasangan yang disebutkan oleh lelaki cacat itu tadi. Perbualan mereka itu mulai menarik perhatian Sakinah yang berada hanya dua tapak dari mereka bertiga.


 

"Macam manalah orang kafir nak pandang mulia agama kita ni, dik. Kalau kita sendiri yang cemarkan agama kita?"

"Cuba adik fikir. Bukan tak ada orang kafir yang tertarik dengan agama Islam ni. Ramai sangat, dik,"sambungnya.

"Tapi mereka jadi was-was nak masuk agama Islam. Sebab apa?"ceramahnya lagi melebar.


 

Sakina menarik pandangannya ke tepi dinding sekaligus menarik badannya agar bertentangan dengan ketiga-tiga pemuda itu. Perbualannya semakin menarik, Sakinah tidak mahu ketinggalan walau sedikit butir huruf pun. Sebenarnya sejak awal lagi melihat kewujudan ketiga-tiga lelaki itu sudah menarik perhatian Sakinah kerana pakaiannya yang menarik. Sakinah memang gemar melihat lelaki berkopiah. Tampak segak dan sangat menyejukkan hati. Sayangnya bukan semua pemuda zaman kini yang selesa berkopiah andai keluar dari rumah. Hanya mungkin berkopiah sewaktu ingin menunaikan solat, atau mungkin kerana sudah menjadi undang-undang fakulti atau tempat pengajian masing-masing.


 

"Waktu sekarang ni semua orang marah kalau ada pihak yang mempersendakan agama Islam. Tapi lihatlah sendiri orang kita. Melakukan maksiat di khalayak ramai pun sudah tidak ada sifat malu. Sedangkan dengan sesama manusia pun sudah tidak rasa malu, inikan pula dengan Allah SWT?"


 

Saat ini tubir mata Sakinah sudah tidak dapat menahan bendungan airmata. Lalu berderai ia bagaikan kaca yang menghempas ke lantai. Lewat niqab yang hitam pekat itu, biarpun tiada siapa yang bias melihat, namun Adila merasai getarannya. Adila menggapai tangan Sakinah lalu diusap lembut. Biarpun begitu Sakinah menyembunyikan jua apa yang dirasainya itu. Takut ketahuan umum, jadi aneh pula nantinya.


 

Tidak lama kemudian lelaki cacat tadi sudah menemukan destinasi untuknya keluar dari perut komuter itu. Dengan daya yang dia punya, dia cuba bangkit sendiri. Khalayak hanya memerhati pegun. Dua lelaki muda yang berdialog sama tadi masih dalam tergamam. Pintu komuter hanya terbuka untuk beberapa minit sahaja. Tiba-tiba ia tertutup sewaktu lelaki cacat tadi masih baru mencecah kaki kanan ke stesen tersebut. Kedua-dua pemuda tadi dengan pantas menarik pintu sekuat mungkin. Ada penumpang yang menepuk-nepuk dinding komuter sambil menjerit-jerit meminta pintu dibuka. Dengan pantas seorang pengawal di stesen tersebut memberi isyarat kepada pihak tertentu untuk membuka pintu komuter. Sebaik sahaja lelaki cacat itu selamat keluar dari perut komuter, dia menoleh ke belakang lalu mengucapkan terima kasih sambil tersenyum manis.


 

~@}---


 

Ya Allah.. sungguh aku ini sangat malu, Ya Allah. Bagaimana seorang lelaki cacat itu mampu berdikari hidup di dalam duniamu yang penuh dengan cabaran dan dugaan ini? Bagaimana seorang lelaki cacat itu mampu menjadi manusia yang sempurna? Malulah aku ini yang mempunyai cukup sifat, cukup anggota serta dikurniai dengan nikmat akal yang tiada sedikitpun cacat atau tercela.


 

~@}---


 

Pagi Isnin yang selalunya menjadikan aku megah bangga berada di hadapan sekumpulan kanak-kanak; generasi anak bangsa yang bakal menggegarkan dunia. Namun pagi ini tidak dapatku hadirkan diri ke sekolah itu. Hanya duduk di rumah menghadap tangga rumah, dapur, papan sterika dan komputer riba. Kesihatan yang semakin tidak mengizinkan ini selalu membuatkan aku semakin bersedih kerana aku ini amat merasakan bahawa aku sudah banyak menyusahkan orang lain. Ya Allah...

"Mak suruh diam, adik tak nak diam. Nanti mak marah baru tau!"suara perempuan separuh umur itu agak tinggi sedikit sejak tadi diam sahaja.

"Dik.. dah la tu. Jangan nangis. Nanti lagi sakit. Dah.. diam ya sayang?"pujuk Kak Liza

"Ye.. erm.."

"Sudahlah tu. Tadi kata nak diam. Kenapa nangis lagi?"suara lelaki yang memandu pula kedengaran.

"Diam.. diam.. taknak nangis"Sakinah memberi semangat kepada dirinya.

"Tu tak diam tu. Nangis lagi. Kalau diam tentu dah tak ada bunyi lagi,"suara lelaki itu semakin parau.

Sakinah diam seketika. Ampusnya masih tidak henti. Lalu tidak lama kemudian dia menangis lagi. Itulah sebenarnya sifat manja Sakinah yang sejak kecil tidak dapat dikikis oleh dirinya sendiri, apatah lagi keluarga malah jauh sekali rakan-rakan. Dia tidak kuat melawan dugaan walau hanya sedikit. Akalnya seakan tidak mampu berfikir langsung! Memang hakikatnya dia sangat keras kepala. Namun sekeras-keras batu, terhakis jua dek titisan air. Mudah lemah andai dipuji dan dipujuk.

Tidak lama kemudian kereta Proton Saga perak yang dinaiki mereka melingkar di hadapan rumah sewa tempat Sakinah dan rakan-rakan menyewa. Lelaki remaja yang memandu tadi hanya diam sahaja sambil memerhati dari tingkap pintu tempat duduknya. Tiga orang perempuan yang lain bingkas pantas keluar dari perut kereta tersebut sambil masing-masing menuju ke pintu tempat duduk Sakinah. Sakinah cuba dipimpin untuk masuk ke rumah tetapi kelihatannya agak uzur. Lalu dengan pantas kak Faqirah memikul sedaya mungkin. Menitis lagi airmata Sakinah melihatkan keadaan itu. Kasihan dihatinya melihat orang-orang yang dikasihi bersedih atas musibbah yang menimpa dirinya.

Malam itu semua yang hadir cuba menenteramkan Sakinah yang hanya asyik menangis sambil menghela nafas peritnya. Helaan nafas semakin menyempit. Dada semakin sakit. Namun tangisnya masih belum bisa reda. Apalah yang mengganggu fikirannya sehingga tidak mampu menenteramkan dirinya sendiri, bahkan rakan-rakan yang hadir juga tidak mampu berbuat sedemikian jua terhadapnya.


 

~@}---


 

Sepanjang perjalanan menyelusur Bandar DiRaja itu Sakinah hanya tegar menajamkan akalnya melalui pembacaannya. Buku kali ini bertajuk Pemilik Cintaku Setelah ALLAH dan Rasul tulisan Fatimah Syarha Mohd. Noordin. Terasa di hati seperti di sindir melalui tali-tali kata sang penulis yang tegar bermain bicara. Namun sebenarnya hati Sakinah tidak begitu menggemari penulisan buku ini kerana baginya nampak seperti ingin bermegah dengan diri sendiri sedang kemegahan itu hanya milik yang Maha Hakiki. Mungkin sahaja jika Sakinah terus berfikir negatif begitu, penulisan buku itu tidak akan diteruskannya untuk membaca. Namun segala yang ada di dalam buku itu insyaALLAH adalah ilmu. Diteruskan jua walau mata berpinar-pinar.

Pandangan tajam terhadap penulisan buku motivasi itu akhirnya Sakinah larikan pada keindahan alam ciptaan Yang Maha Kuasa. SUBHANALLAH!! Kehijauan yang ketara ketebalannya, hanya itu bukan hutan semulajadi kerana kesemuanya adalah pokok sawit. Terkadang Sakinah berfikir bagaimana agaknya keadaan lantai kawasan itu. Tentu ada banyak tikus, ular dan pelbagai haiwan berbisa. Andai Sakinah terperangkap di situ, apakah agaknya yang bakal berlaku? Ulahan terus dibiarkan berlalu sambil matanya terbuka luas namun hanya Allah SWT yang tahu sejauh mana akalnya menerawang.


 

Hampir tidak sedarkan diri, rupa-rupanya kenderaan MPV itu sudah berada di lebuhraya Nilai. Laju sungguh abang memecut sang Myvi, bimbang patah kakinya nanti! Sakinah menutup buku motivasi yang dibacanya tadi kemudian ditutup matanya rapat-rapat. Hanya mungkin mata yang tertutup rapat, telinga masih mendengar dengan jelas. Bukan mencuri dengar perbualan orang, tetapi telinga yang tidak dapat ditutup semerta matanya.


 

Punggung sudah mulai kepedasan. Entah sudah tiba dimanalah agaknya mereka ini. Sebaik sahaja diberitahu sudah tiba destinasi, Sakinah bingkas membuka pintu kereta. Tidak perlu diamati lama-lama suasana sekitar kawasan itu pun Sakinah sudah dapat pasti dimanakah mereka. Di Melaka, rumah kak long Sakinah. Ada apa agaknya ya? Sakinah sekadar menurut.


 

Di rumah itu hanya seketika sahaja kerana setelah ayah dan abang usai solat maghrib dan minum-minum ringan, kesemuanya di arah oleh kak long untuk ke satu tempat yang asing buat Sakinah namun sebenarnya sudah agak biasa bagi yang lainnya. Dari luar jalan menuju masuk ke satu lorong terdapat satu papan tanda tertulis MADRASAH dan rupa-rupanya di dalam terdapat satu tempat perubatan tradisional. Bagi Sakinah, pedulikanlah apa jua yang berlaku asalkan niat dihati telah dipasang awal-awal, Lillahi ta'ala. Mencuba sebarang jenis perubatan yang dirasakan diterima syara' dan dengan niat tidak menyimpang selain untuk ikhtiar, insyaALLAH, semoga diterima oleh Allah SWT.


 

"Ada rasa berdebar tak?"

"Tak,"ringkas jawapan Sakinah tatkala disapa oleh pemilik tempat perubatan tersebut.


 

Sakinah tidak hairan jika perubatan di situ menggunakan kaedah mesin perubatan secanggih mana pun, ubat-ubatan sekuat mana pun, yang penting semuanya sama ada yang baik mahupun buruk adalah datang dari Allah SWT. Tidak semestinya jika datang kebaikan itu untuk bersenang-lenang. Tidak juga semestinya jika datang keburukan itu untuk diuji. Namun baik buruknya sesuatu perkara yang dirancang Allah SWT pasti dijanjikan-NYA hikmah. Sesungguhnya dunia ini adalah penjara bagi orang-orang beriman dan syurga bagi orang-orang kufur.


 

Terkadang menjengah perasaan tidak percaya dihati Sakinah mengenai perubatan cara ini. Kerana peralatannya tidak bisa dilihat mata kasar! Tidak lama kemudian Sakinah dipanggil untuk baring di satu katil pesakit, bersebelahan Sakinah adalah ibunya. Masing-masing melakukan perubatan yang sama oleh petugas di situ dengan suasana ceria dan ramah sekali.


 

"Kenapa nak kena tarik ni?"

"Entah, tak tau. Cubalah tanya dia,"jawab si ibu menjuihkan bibir ke arah si anak dara di kirinya.


 

Petugas itu hanya tersenyum. Tidak lama kemudian petugas itu masing-masing meletakkan sejadah di atas kedua beranak itu. Dengan bacaan tertentu yang pastinya hanya menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran, sejadah itu diangkat dan diletakkan semula separas dada. Sesekali si petugas menekan abdomen pesakit. Seperti meletakkan sesuatu di atas sejadah itu. Tidak pasti apakah gerangannya, namun tetap dapat dirasai oleh pesakit. Tunggu beberapa minit, kemudian sejadah ditarik perlahan-lahan.


 

"Maaf ya. Saya minta izin,"pinta si petugas untuk melangsaikan kerjanya. Sakinah hanya mengangguk malu-malu. Ditariknya sejadah tadi dari paras dada turun ke perut ditekan sedikit dan terus melepasi kaki. Setelah selesai, kedua-dua petugas tadi beralih arah pergi kepada pesakit lain pula. Tidak lama kemudian si pemilik tempat perubatan itu pula yang datang menjengah.

"Ini tak ada lain ni.. nak kawin,"jerkahnya bersahaja itu membuatkan Sakinah kaget.

"Bila nak kawin? Tahun depan?"soalnya lagi. Sakinah hanya tersenyum malu. Sukar baginya mengakui perkara yang sehingga kini pun masih belum beroleh jawapan yang pasti. Di sebelahnya ibu. Lebih baik biar orang tua itu yang menjawabnya. Adat perempuan andai ditanya untuk kawin hanya akan tunduk malu-malu tapi di hati hanya Tuhan sahaja yang tahu.

"Bang.. doa-doakanlah. Terbuka hati orang tua tu,"kedengaran suara sang ibu.

"Kenapa?"

"Orang jauh.. naik belon!"

"Ohh.. kenapa jauh sangat? Orang kampung sendiri kan ada? Nuu.. duduk depan sekolah!"matanya memandang Sakinah.


 

Sukar sebenarnya untuk Sakinah meluahkan kata. Bukan tidak mengimpikan bersuami orang dekat, dan tidak pula pernah menolak bersuamikan orang jauh. Itu semua ketentuan Allah SWT. Sebagai manusia ini hanya mampu merancang, dan sebaik-baik perancang adalah Allah SWT. Namun yang sudah nampak usahanya kini, itu yang dipegang oleh Sakinah. Sakinah tidak mahu menjadi munafik kerana memungkiri janji. Pilihan itu bukan Sakinah buat secara membabi buta. Sudah diselidik kisah diri sang arjuna. Biarlah bukan dari keluarga hartawan, biarlah bukan dari keluarga ilmuan dan biarlah bukan dari keluarga rupawan. Namun kehalusan akal yang dimiliki sang arjuna, kekentalan semangat menyelusuri kehidupan penuh onak berduri lingkar serta wajah sejernih wuduk nan tawadduk indah tahajjudnya yang kemilauan di kegelapan sepertiga malam. Itu yang dicari Sakinah.

Barakallahu Lakuma


About Me

My photo
seorang anak yang mendambakan dirinya menjadi anak yang solehah.. seorang perempuan yang mendambakan dirinya menjadi isteri solehah.. seorang manusia yang mendambakan dirinya menjadi ibu mithali.. insyaALLAH, mohon ALLAH berkati..

Blog Archive