Bab 5 – Hidup ini penuh ranjaunya

Sengaja aku membiarkan lagu itu berdendang berulang-ulang kali. Biar dapatku hayati setiap bait lirik lagu sang pujangga itu. Begitulah aku; hanya mahu mempelajari alam kejadian sekelilingku yang membawa aku kepada mengingati Tuhan semesta alam ini pada tika aku dilambung ombak; ranjaunya di sepanjang perjalanan belukar hidupku.


 

Namun ranjaunya tidak akan sunyi

Selagi denyut nadi belum berhenti

Durjana syaitan kan cuba menodai

Segumpal darah bernama hati…

 
 

Jemari menghentikan dendangan lagu Destinasi Cinta nyanyian Mestica; kumpulan nasyid tanahair yang agak terkenal di zaman serba pesat membangin. Maksud aku, penasyid seperti mereka yang gemar tampil dengan imej segar keremajaan serta lagu-lagu ketuhanan yang harmoni itu masih dapat diterima oleh segelintir manusia contohnya aku sendiri.

Aku kemudiannya mengambil sehelai kertas laluku renung lama. Di mindaku; ku fikirkan seperti inginku lakar sesuatu. Oh ya, memang aku ingin lakarkan sesuatu. Lakaran peta perancangan matlamat dan arah tuju hidup aku sendiri. Kak Mas yang mengajarku tentang cara membuat peta ini. Aku masih ingat matlamat dan arah tuju aku yang pertama sekali yangku minta Kak Mas lakarkan. Aku ingin membeli sebuah kereta pada jangka masa dua tahun terdekat ini. Berdasarkan gaji pada waktu itu darab bahagi dengan jumlah bulan dan wang pendahuluan untuk tarik sebuah Viva, dapatlah jawapan berapa jumlah wang yang perluku simpan setiap bulan sehingga cukup 2 tahun.

Itulah sebahagian dari resepi kejayaan. Bak kata Kak Mas, kalau nak jadi umat yang Berjaya mesti kena ada matlamat dan hala tuju. Beberapa hari yang lalu aku ada membincangkan perihal matlamat dan hala tuju bersama seorang sahabat siber.

Apa yang dapat dikupaskan melalui perbincangan ringkas itu ialah mengenai perbezaan diantara matlamat dan hala tuju. Aku mengambil pendekatan termudah iaitu andaikan aku adalah seorang pelumba lari. Hala tuju aku adalah garisan penamat. Namun untuk sampai ke garisan penamat itu aku memerlukan perancangan yang dinamai matlamat; berlari sepantas mungkin untuk menjadi juara.

Persoalannya.. apa yang dapatku lakarkan di atas sehelai kertas di hadapanku ini? Ianya kosong. Mindaku yang kosong. Namun bezanya, ia putih bersih. Tidak seputih bersihnya ia adalah hatiku. Tidak sebersih suci hati lelaki itu. Seorang lagi Adam yang telah lama wujud dalam duniaku. Namun sejak saat keberapa dia mulai merenungku? Aku tidak ketahuinya.

 
 

~@}---

 
 

Perjalanan ke pusat Bandar mungkin mengambil masa hanya 45 minit andai kupandu kereta sendiri. Namun aku tak punyai pilihan lain selain menaiki bas. Lalu aku akan sampai ke sana dalam 1jam saja lagi. Sabar..

Banyak ragam manusia yang dapatku temui di sini. Di dalam perut sebuah kenderaan awam bernama 'Bas'. 1 Malaysia; warga berbilang bangsa, berbeza agama, pelbagai bahasa serta kebudayaan. Semua dapat dilihat di sini.

Sedang asyikku melihat pelbagai gelagat manusia, baruku sedari ada insan di sebelahku yang juga hanya membungkam. Aku sedar, untuk manusia biasa yang melihat diriku pasti pelbagai persoalan yang menerjah di kepalanya. Aku tersenyum kepadanya. Namun tiada jawapan balasan darinya. Itu sudah pasti. Bagaimana dia tahu aku mengirim sedekah kepadanya sedangkan senyumanku tidak kelihatan?

 
 

"Terima kasih, uncle,"

"Okay"balas pemandu bas yangku naiki tadi.

 
 

Sebaik sahaja turun dari bas, aku mengorak langkah ke tempat duduk di perhentian bas. Cuba menghilangkan lelah sepanjang perjalanan di dalam bas tadi. Aku memesan segelas teh ais sahaja memandangkan belum waktu untuk makan tengahari.

 
 

~@}---

 
 

Sejak dari tadi lagi aku melihat perempuan itu melambai tangan. Pada akukah? Setahu aku, aku tidak pernah mempunyai kawan seperti itu, bertutup habis! Nampak dua biji mata saja. Entah apa agaknya yang dia mahukan ya?

 
 

Haris melangkah menghampiri perempuan misteri itu.

"Haris! Lama tak jumpa?"

"Er.. siapa ya?"ibu jarinya menuding ke arah perempuan misteri itu.

"Hai, Teddy Bear… makwe sendiri pun tak kenal?"tawanya meletus.

Dihati Haris :- "Mana nak kenal kalau dah berselubung habis?"

Dari panggilan 'Teddy Bear' saja sudah dapat cam, siapa pemilih tubuh berselubuh ketat ini. Sakinah!

 
 

Agak lama juga mereka berbual kosong di situ. Sudah hampir dua tahun tidak bersua biarpun mereka sekampung. Perkenalan sejak di gelongsor Tabika lagi, tidak mungkin memecahbelahkan perhubungan mereka biarpun mahligai cinta yang pernah dibina satu ketika dahulu sudahpun berkecai di tengah jalan.

"Sebenarnya aku ke sini sebab ada meeting dengan business partner aku,"

"Ehem.. meeting ke.. dating?"seloroh si hawa.

"Eh.. meeting-lah. Baru-baru ini aku join
business kawan aku tu. Alah.. saje 'suka-suki',"

"Business apa? Macam best je?"

"Business makanan segera. Aku fikir kalau kau nak join sekali pun bagus juga. Yelah.. orang perempuan lebih arif tentang makanan ni kan?"puji Haris menggiat si hawa di hadapannya.

"Ah.. tak juga. Tengoklah Chef Wan tu. Lelaki zaman sekarang dah ramai yang lebih arif kerja-kerja perempuan,"

"Kerja-kerja perempuan yang lelaki tak boleh buat cuma mengandung, beranak dan menyusukan anak saja,"kedua-duanya meletus tawa.

"Tau pun. Eh, tunggu punya tunggu.. mana business partner kau tu? Janji pukul berapa?"

Direnungnya muka jam. Seingat Haris tadi, mereka berjanji dan setuju untuk bertemu di situ pada pukul 10.30 pagi. Sekarang masih baru pukul 10 pagi.

"Setengah jam lagi kot?"agak-agaknya.

"Eh.. kau pula ke sini ada apa? Dating ye?"seloroh Haris kembali kepada Sakinah.

"Pakwe pun dah lari.. mana nak ber-dating?"tawa lagi meletus.

"Aku ingat nak pergi kedai komputer, survey barang sikit. Kalau ada yang berkenan baru aku beli,"

"Barang-barang komputer ni sentiasa update. Contoh paling mudah, kau tengok pada software sajalah. Memang tak terkejar. Kita baru master layan Adobe Photoshop CS2, sekarang ni dengar-dengarnya dah keluar versi CS4. Versi CS3 pun aku tak tengok lagi!"hujahnya panjang lebar.

"Erm.. aku nak join meeting kau boleh tak?"

"Eh.. boleh saja. Sejak tadi lagi aku dah pelawa kau,"

"Hehehe.. ingatkan ajak-ajak rimau je,"

 
 

~@}---

 
 

Sebaik sahaja selesai perbincangan kali itu, dia terus meminta diri untuk pergi memenuhi keperluannya pula. Hanya tinggal aku dan Haris. Aku memandang wajah Haris dengan pandangan kaku. Seperti tergamam.

"Kenapa Ril? Terpikat?"seloroh Haris. Matanya seakan mengejek.

"Eh.. apelah kau ni! Mana ada.."cubaku nafikan.

"Dia tu bekas awek aku waktu kitorang sekolah menengah,"

"Baik budaknya.. sesuai dengan kau, Ril,"tubuh Syahril ditepuk ramah.

 
 

Wajah Syahril merah padam. Biarpun ramai yang salah anggap mengatakan dia kaki perempuan hanya kerana tampangnya saja, namun hakikatnya dia amat sukar untuk mendekati perempuan selain mak. Ada adik-beradik perempuan pun dia kurang rapat.

Haris merenung wajah Syahril seketika. Ada butir-butir manik peluh dingin di dahi lelaki itu. Haris tahu ada degupan naluri ingin tahu di hati Syahril. Naluri ingin tahu terhadap seorang gadis berpurdah yang baru sebenar tadi duduk sama dengan mereka.

"Ril.. aku nak gerak sekarang,"

"Ni.. HADIAH untuk kau,"sengaja Haris tekankan perkataan HADIAH itu merujuk kepada secebis kertas tisu yang tidak kosong.

"Aku fikir lebih baik kau cuba yang ini,"Haris beredar sebaik mereka berjabat tangan.

 
 

Syahril masih tinggal di tempat duduk yang sama. Sukar untuk mendekati malah untuk bertemu gadis seperti itu pun belum pasti. Namun apa yang ada di hadapan matanya tadi bukan fantasi. Dan nombor telefon yang tertulis di kertas tisu itu pun bukan sesuatu yang boleh dianggap sebagai ilusi.

Honda Civic dipandu lancar perlahannya. Sebaik 45 minit lagi menemui destinasinya, kereta itu terhenti. Lelaki itu menepuk dahi. Aduh.. nampaknya ada yang masih belum beres. Mencari ruang yang sesuai lalu steering kereta diputar, memutar arah ke jalan bertentangan; menjauhi destinasi yang sudah hamper.

"Ril.. balik nanti jangan lupa singgah rumah Pak Teh,"

'Mak pesan dah banyak kali. Sampai aku naik meluat. Tapi macam manalah aku boleh terlupa juga?'getus hatinya.

 
 

Usapan hati terus membelai lembut. Sekarang sudah jadi kerja pula nak mengharung semula perjalanan hampir sejam tadi. Di dunia ini memang penuh dengan dugaan. Redha sajalah. Harap-harap tak kehabisan minyak di tengah jalan nanti. Menambah lagi satu kerja pula nak mencari stesen minyak!

 
 

~@}---

 
 

Kedinginan malam yang menggigit dan kesunyian itu yang menggamit. Menyulam pasrah di hati yang menghiasi hamparan kekosongan akal. Kesunyian ini membutuhkan teman bicara, teman tawa jua teman berduka.

Wahai Tuhanku.. selama ini tidak pernahku mendambakan teman seindah Solehah. Apakah semua kedukaan ini balasan pada kealpaanku terhadapMu Ya ALLAH? Andai isteriku yang Solehah, pasti semua ini tidak akan berlaku. Wahai Tuhanku.. aku mengharap seorang isteri yang Solehah, penyejuk mata penenang di hati. Pengubat duka laraku, juga ibu mithali.

Setelah selesai berdoa, dia bingkas dari sejadah dan menuju ke sebuah bilik kecil bersebelahan bilik tidurnya

'Nur.. ayah sayang Nur…' dikucup pipi si kecil yang lena.

Lalu menitis airmata kedukaannya.

 
 

~@}---

 
 

Setelah apa yang berlaku, setelah cinta yangku semai tidak berbuah, malah sedikit pun pohonnya tidak merimbun. Aku benci semua ini. Aku tidak mengerti mengapa semakinku membencinya, semakin aku merasakan amat memerlukannya. Apakah pengertian semua ini? Apakah jawapan bagi semua persoalan ini?

Dan setelah puasku mengkaji, apakah keputusan yang bakalku laksanakan ini yang terbaik buatku? Aku mengerti apa itu cinta yang halal dan aku mengerti apa itu cinta yang haram. Namun sejauh mana dapatku pertahankan kesucian cinta yang hakiki?

Ya ALLAH.. aku tidak tahu lagi apakah rasanya cinta? Apakah rasanya apabila dicintai? Sepertimana pernahku lalui dan rasai.. mencintai itu amat pedih. Penuh dengan keperitan sehingga meragut jiwa, luka yang terlalu dalam hingga habis dari dasar isi daging! Wahai Tuhanku.. aku tidak menyemai dendam walau sebesar butir pasir pun, biarpun hatiku dilukai. Namun mengapa aku tidak dapat menerima kehadiran lelaki ini?

Semangatnya tinggi berusaha meneruskan hidup dari bawah biarpun dia mampu mengecapi kemewahan dalam kadar yang segera. Hidup yang cukup bersederhana. Biarpun kelihatan seperti orang yang biasa bersosial namun itu bukan hakikat bagi dirinya. Sesungguhnya dia adalah seorang lelaki biasa. Bukan ustaz yang selama ini cubaku cari kerana ilmu agamanya yang mampu membimbing hidupku ke jalan yang benar. Bukan sarjana yang mendesakku mengejar ilmu dunia demi mengejar harta dunia. Dan bukan juga pengurus syarikat persendirian yang kaya-raya. Dia hanya manusia yang pernah alpa.

Memang benar dia sama sepertiku. Sejak pertama kali kami bertemu, berbual biarpun tidak begitu mesra; dapatku teliti dan kenali dirinya serba sedikit. Lalu ilham dari Ilahi Robbi menerjah di mindaku. Aku mesti dalami insan yang diberi nama Syahril ini. Pasti ada sesuatu yang tersimpan dalam dirinya. Pasti ada jawapan buat persoalan-persoalan yang selama ini meragukan aku. Pasti kerana itu ALLAH pertemukan kami, kerana segala yang disusun oleh ALLAH subhanahuwata'ala itu di sebaliknya dijanjikan hikmah. =)

Bab 4 – Aku dan duniaku

Pedulikan apa orang nak kata asalkan aku tahu niat hati aku baik. Aku tak mahu menjadi beban pada orang lain. Aku bahagia dengan cara aku.


 

"Husnuzan" kata yang sudah agak lama tidakku dengari itu tiba-tiba meniti di bibir Kak Zubaidah.

"Itulah.. kita ni manusia biasa. Kadang-kadang.. bukan kita suka sangat pun nak burukkan orang,"

"Tapi itulah.. tak boleh nak kata apa-apa pun kak. Saya redha saja,"sampukku.

"Asalkan kita selalu fikir ambil yang positif saja, insyaALLAH.. kita takkan buruk sangka pada orang lain,"sambungku.


 

Akulah jaguhnya dalam menyusun dan menutur kata. Namun tatkala musibah melanda, akulah pelakon telenovela airmata paling terkemuka. Bertambah tidak dapatku tanggung tubir mata dari membenarkan airnya mengalir saat mendengar suara kasihnya Fauzi dihujung talian telefon. Entah mengapa seluruh perasaanku tidak dapatku lindung darinya. Saatku gembira, di sisinya aku terus lepas ketawa. Saatku berduka, esak tangis yang terus berlari menerpa seakan ingin merangkul erat batang tubuhnya andai dia halal bagiku.

Tengahari itu aku menjamah nasi campur bergandingan dengan minuman the ais kegemaranku, ditemani Kak Zubaidah yang setia selalunya membawa bekalan makanan sendiri dari rumah. Sambil berbual-bual perihal masalah yang melanda aku, aku rasakan putik mesra begitu mudah menguntum. Indahnya persahabatan dalam ISLAM =)

 
 

~@}---


 

Tambah perkenalan baru lagi dan lagi di dalam hidupku. Tidak pernah padam selagi pelita jasad masih bersumbu dan minyak adalah rohnya. Pada hari ini aku ditempatkan pula di bangunan Makmal Kepelbagaian; begitulah nama yang mereka gelarkan pada tempat ini. Berbual sebentar tidak cecah 5minit pun ummi sudah mahu beredar. Ada tugas lain yang menantinya di luar sana. Aku diperkenalkan kepada Kak Rasyidah, Kak Nazirah yang juga seorang RA(Researcher Asistant) kepada Dr. Hanafi, serta beberapa jasad lain di situ; yang pastinya tidak mudah untukku simpan kesemua nama, gambaran wajah malah jauh sekali perwatakan peribadi mereka masing-masingnya di dalam otakku yang berlemak tepu!

Dunia seakan asing lagi buatku. Soalan-soalan yang singgah di cuping malasnya dijawab. Sudahlah mulutku berat hendak mengajak mereka berbual. Tak mahu menjawab soalan mereka nanti aku pula dilabel "SOMBONG".

"Student FPI(Fakulti Pengajian Islam) ke?" jikaku jawab "Tidak" datang pula soalan lain. "Dulu ambil degree dimana?" laluku jawab "Oh, saya cuma ada sijil kemahiran, dari Kolej Komuniti,"membangkit pula soalan lain, "Jurusan apa?" aku jawab lagi "Sistem Komputer", apa agaknya respon terakhir darinya? Mereka selalunya akan menjawab "Oh…" agak panjang, sambil melirik mata mengekor sekujur tubuhku; atas ke bawah, bawah ke atas. Hanya mungkin tidak begitu meliar pandangannya. Mereka pasti tidak percaya bagaimana "Budak Kecil" ini boleh berada di dunia yang "Besar" ini.

Bagaikan apabila terburu-buru memilih untuk terjun dari tebing yang tinggi. Andai kepala yang tiba dahulu ke dasar, kepala pecah. Andai kaki yang tiba dahulu ke dasar, kaki patah. Andai hidup, hiduplah menderita. Andai mati, matilah tersiksa. SESUNGGUHNYA DIANTARA DOSA-DOSA YANG TIDAK ALLAH AMPUNKAN ADALAH DOSA ORANG YANG MEMBUNUH DIRI. NAUZUBILLAHIMIN ZALIK!!

Begitulah selalunya aku. Begitulah yang selalu dilemparkan terhadap insan bergelar "Wanita". Orang selalu kata, perempuan selalunya suka bertindak dahulu, kemudian baru berfikir. Mungkin nampak dimana seperti itu, tetapi pada hakikatnya kami berfikir juga!

 
 

~@}---

 
 

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk mula semester baru. Pasti ramai siswa yang sudah mulai melambai tangan pada kampung halaman, rumahku syurgaku dan kembali menggapai tangan memaut dahan Universiti Kebangsaan Malaysia ini. Pasti banyak hati yang tidak sabar menanti hari pendaftaran semester baru yang akan mendatang. Pasti ramai pencinta ilmu yang sudah tidak sabar ingin berlumba-lumba bersengkang mata mengulangkaji pelajaran demi memegang segulung ijazah, berdiri megah berjubah hitam dipersada kejayaan. Itulah impianku. Impian yang tak mungkinku biarkan musnah. Aku masih mampu untuk menjadikannya kenyataan, insyaALLAH.

Kak Hana sudah beberapa kali memberi SMS kepadaku bertanyakan mengenai keadaan di hostel, mengenai kenderaan awam dan kemudahan-kemudahan yang lain. Tentu Kak Hana juga mengatur langkah rapi untuk pulang ke Kolej Pendeta Za'ba ini.

Padaku semua kekalutan ini menambah gusar hatiku. Bermulanya tahun baru nanti akan bakal bermulalah lagi episod baru dalam kehidupanku. Aku yang akan menamatkan kontrak perjanjian kerja sebagai Pembantu Penyelidik di UKM ini hanya memiliki dua kemungkinan; samada akan menetap di satu lokasi asing kerana memulai kerja di tempat baru atau pulang ke kampong 'menanam anggur' istilahnya dewasa ini. Aku tidak mungkin akan berpatah balik. Itu prinsip hidupku. Biar apapun yang bakal terjadi aku tidak akan sekali-kali berpatah balik untuk terus berada di sini. Maaf ummi. Episod kali ini sangat perit buatku. Aku tidak berdaya untuk meneruskannya. Izinkan aku memulai episod yang baru, jauh darimu.

 
 

~@}---

 
 

Kisah monyet yangku cintai menawan hatiku mencuri roti dan hati, kisah kambing yangku rindui menunggu daku di pintu syurga setelah terkorban di Hari Raya Korban, dan kisah Mek Kelate yang mencari "Wad Kencing Masam". Semua adalah kisah yang membuatkanku tersenyum, menahan ledakan tawa yang berlavakan kegembiraan dan mengukir memori indah terhadap insan yang baruku kenali.

Kadangkalaku terfikir mengapa aku sering bertemu manusia baru, perwatakan mereka sangat berbeza, lahir dari latarbelakang keluarga yang sangat berbeza dan masing-masing mempunyai kisah tersendiri. ALLAH itu Maha Mengetahui setiap apa pun jua. Hanya aku yang tidak mengerti dan kadangkala pula bongkak memilih untuk tidak mahu mengerti serta mencari erti setiap apa yang terjadi. Apabilaku buka mata seluas-luasnya baruku lihat keadaan sebenar. Bukan semua yang lahir dari keluarga baik-baik itu akan baik juga jadinya dan bukan semua yang lahir dari keluarga 'kurang baik-baik' itu akan 'kurang baik' jadinya. Sedangkan mutiara paling berharga pun berasal dari butir pasir tak bermakna. Sedangkan Panglima Ikramah jua berbapa kandungkan Abu Jahal.

Aku masih belum begitu mengenali insan yang diberi nama Azman ini. Dia istimewa padaku. Bukan kerana cinta manusia, tetapi kerana mendamba cinta Tuhan kami yang Esa. Aku menyanjung dia kerana menegur demi mendidik, bukannya menegur dengan mengherdik!

Bab 3 – Bukan mudah melupainya…

Dikala satu waktu yang amat terkesan dengan kata-kata nasihatnya. Biarpun sekadar bertemu di dunia maya, hatinya terusik. Apakah kerana dia seorang wanita? Yang hatinya begitu lembut, begitu rapuh. Bagaikan rumput semalu. Disentuh sedikit mulai berubah.

Ketika ini malam begitu dingin. Tidak sunyi kerana masih kedengaran detik rintik hujan mengenai atap zink rumah. Dingin betul. Seperti jika tulang temulang bisa berbicara, ia akan berkata "Oh.. sejuknya."bagai ingin rapuh.

Lalu kedengaran bunyi telefon bimbit, bukan berdering kerana kecanggihan memaju membolehkan telefon bimbit kini pelbagai irama. Bukan sekadar "ring-ring".

"I miss you, girl"

Sms datangnya dari seorang manusia yang amatku kenali. Lelaki comel, montel, manis mukanya lebih manis dari madu! Namanya dahulu pernah bertahkta dijiwaku, begitu juga namaku di jiwanya. Namun kini apabila bertemu, dia seakan kayu keras tanpa perasaan. Dan aku? Sama sahaja seperti ini; anggapnya masih sebagai seorang kenalan yang baik sekali.

Aku masih ingat ketika dia dating bertemu denganku, meminta aku membantunya membuat lakaran lukisan untuk barangan syarikatnya. Ya, telahku lakukan dengan sempurna; tanpa dendam ataupun prasangka syaitan! Geli hatiku melihat gelagatnya yang seperti seekor kucing liar yang apabila diusik mulai mencolot ketakutan.

Anggapanku seperti tidak mengambil peduli akan semua itu. Rindu.. ya.. hatiku merindui dia. Lelaki comel bermulut manis seperti Hairul takkan dengan mudahku lupakan

Lalu smsnya ku balas.

"I miss you 2 3 4 5 6 and more!"

Jawabnya Cuma dengan perkataan sesingkat "Thanks". Aku giat lagi dengan bertanya khabarnya, mak dan abahnya. Perkenalan kami, keakraban, percintaan yang cukup dasyat membuatkan dia bagaikan kelu setiap kali bertemu denganku. Dengan tindakannya yang sering ingin melarikan diri meninggalkan aku, membuatkan aku mengerti. Masih ada cintaku yang tersisa dihatinya. Nafikanlah! Aku tetap tahu itulah hakikat.

Hakikat mengenai aku; setiap lelaki yang pernahku cintai, mereka semua tidak dengan mudah dapat melupakan aku. Kerana aku tahu kekuatan yang ada di dalam diriku. Aku tahu keistimewaanku. Aku bijak mengambil hati mereka tatkala masih bergelar kekasihnya. Namun apa yang aku mahukan di dalam setiap perhubungan yang tercipta? Entahlah… aku sendiri tidak mengerti. Mungkin kerana itu semua percintaan yang terbina gagal. Kerana tiada matlamat, biarpun ada usaha dan keikhlasan.

Oh.. kasihan mataku sudah keletihan. Ada lebih cabaran yang perlu aku tempuhi menjelang esok. Sebaiknya aku tidur, berehat menghilangkan lelah penat bekerja seharian. Semoga ada rezeki untukku esok hari. Semoga apa yangku hajati bisa dikabulkan oleh Yang Maha Kuasa. Sayangku akal, jangan bermimpi yang tidak-tidak ya? Hatiku, semoga tenang tatkala telinga mendengarkan alunan gemersik zikrullah ini. Tubuhku.. berehatlah sebaik-baiknya.

 
 

~@}---

 
 

Seawal 6 pagi dia sudah bangkit dari tidur; mensucikan tubuh dengan sedingin air kolah, lalu pakaian yang sebersihnya disarung ke tubuh. Seusai wuduk, dia terus solat subuh. Tidak tertinggal zikrullah di bibirnya, menjadi nyanyian pagi setiap hari. Hari ini terasa agak ingin bermalas-malasan saja di rumah. Suzairi lalu bergerak lemah kembali ke kamar beradunya kemudian tidur lagi, masih dengan baju melayu hijau muda dan kain pelikat; pakaian solatnya tadi.

Gelap! Hitam pekat sepekatnya. Langsung tidak dapat melihat apa-apa. Perasaan tidak tentu arah. Seperti mual, seperti pusing, seperti takut.. Entahlah.. Lama-kelamaan, gelapnya menghilang seperti ditiup angin. Ada sebuah pohon rambutan; rending sahaja. Berbuah merah lebat. Tatkalaku duduk di bawah litupan dedaunannya, perasaan seperti sejuknya mencurah ke hati. Oh.. enaknya berada di sini. Tidak begitu jauh dari situ, ada seseorang duduk tenang. Aku tidak pasti siapakah dia. Wajahnya juga aku tidak dapat mengecam dengan pasti. Tetapi sesaat terpandang dirinya, perasaan seperti sejuknya mencurah bukan sekadar ke hati. Permai sungguh, damai sungguh.

Dengan kudrat kekuatan tubuhku menghampiri batang tubuh itu. Sepontan aku mendakapnya laluku kucup dahinya. Tidak lama selepas itu dia menghilang entah kemana. Eh? Aku menangis? Mengapa aku menangis?

 
 

"Astaghfirullahal azim!!"

'Tertidur aku rupanya..'getus dihati Suzairi.

Tangannya menyeka airmata, nafasnya di atur bagi menghentikan sedu tangisan alam mimpinya. Entah mengapa agaknya di dalam tidur pun dia bisa menangis sebegitu rupa? Persoalan memang mendatang. Namun lebih baik dibiarkan saha ia berlalu tanpa jawapan pasti, kerana dia sendiri tidak pasti. Ah.. perencah tidur.

 
 

~@}---

 
 

Aku dan cinta yangku semai ini bagaikan tidak akan ku temui garis pemisahnya. Tiada garisan ufuk yang memisahkan kaki langit dengan bumi. Hanya kesamaran pada biasan pandangan mata ini. Jauh di atas sana terlukis takdir yang bakal berlaku. Apakah pelangi mewarnainya setelah kilauan petir menyambar dan benih hujan merintik ke bumi?

Masih ketika yang sama; lewat malam beransur awal pagi hari seterusnya. Kepala terasa sakit sekali. Seperti dihempap batu bata. Aku pun tidak tahu setahap mana penyakit migraine yang aku alami ini. Tetapi yang pastinya, sakit yang amat sangat hinggakan ingin meletup bebola mataku!

 
 

~@}---

 
 

Tangannya memicit kepala. Masih amat terasa sakitnya kemudian tangannya beralih ke leher pula, merasakan hangatnya tubuh ketika itu. Seusai menonton Drama 3 Janda di Astro, dia bangkit kembali ke kamar beradu. Di hati ingin terus beradu saja; menyambung pemberaduannya yang tersentak tadi. Namun kesakitan itu membatasi nafsu. Hampir sahaja dia tergelincir ketika menuruni anak-anak tangga menuju ke kamar. Jalannya sudah terhuyung-hayang.

 
 

~@}---

 
 

'Ish.. kenapa tak boleh tidur ni? Esok pagi-pagi lagi dah nak kena keluar cari barang untuk renovate kedai. Ish.. menyampah betul!!'merungut saja.

Jejari halusnya menyapai beg alat solek. Berus, pensil mata, blusher, eye shadow, bedak.. semua dikenakan ke muka. Serba tidak kena. Dicubanya pula baju-baju di almari. Dari yang fesyen lama ke fesyen baru. Kemudian disuai padan pula. Aduh.. semakin serba tak kena. Dia sendiri tidak tahu, apa kena dengan otakknya? Terlalu ligatkah ia bergerak berfikir sehinggakan amat sukar untuk melelapkan mata? Apakah yang difikirkan sehingga lena bukan lagi nafsu?

Bab 2


 






Di keheningan malam yang kedinginannya mencengkam erat peparu. Menyesakkan nafas, menghimpit di dadanya. Sesekali mata melirik ke muka jam di dinding. Peluh menitik membasahi baju melayu padanan serona warna dengan kain pelikat yang disarungkan ke badan sewaktu ingin menunaikan solat isyak tadi. Nafas cuba dikawal sebaik mungkin agar kembali normal. Tangan-tangannya yang sekian tadi menggeletar kini mulai terasa ingin kaku sedikit. Dia memejamkan mata erat-erat.

"Nas..."tiba-tiba terasa dadanya dibelai lembut.
"Sakit ya?"kedengaran lagi suara yang sama. Lantaran memaksa matanya melihat akan siapa pemilik suara itu. Nafasnya tidak mengencang, namun sakitnya tetap terasa.

Pemilik suara ini begitu baru dia kenali. Nasrul bersoal tanya di dalam hati mengenai mengapa begitu berani gadis ini menerjah kamarnya, di malam sunyi seperti ini? Jam sudah menunjukkan pukul 3pagi, apakah yang gadis ini mahukan darinya? Namun kesakitan melarat mengunci kuat bibirnya dari mengeluarkan kata-kata.

Gadis ini mengarahkannya duduk dengan tegak, bersandar di kepala katil dan mengajarnya bernafas perlahan-lahan. Sekali dia suakan pam 'inhealer' di tangan Nasrul tadi ke mulut lelaki itu lalu dituntun lagi nafasnya. Dua kali disuakan lagi pam 'inhealer' hampir ke mulut Nasrul, lama-kelamaan mulai lega.

"Dah okay?"tanya si gadis yang kemudian dibalas dengan reaksi hanggukkan kepala sahaja oleh Nasrul. Melemparkan senyuman lalu gadis itu terus meninggalkan Nasrul sendirian.


***


Alarm di telefon bimbit Nokia 5200 Sakinah menjerit memecah pintu lamunan mimpinya. Rutinnya, Sakinah terus bangkit mengambil sesuci wuduk untuk menunaikan solat subuh. Seusai solat subuh, Sakinah berdoa demi kesejahteraan hidupnya kemudian disambung pula dengan bacaan Surah Yaasiin.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Siapa yang membaca Surah Yaasiin di permulaan hari, segala hajatnya bagi hari itu akan dipenuhi" -(Hadis Riwayat Ad-Darimi)

Belum sempat pun Sakinah menamatkan bacaannya, kedengaran sedikit riuh di bilik sebelah, iaitu bilik abang serta kakak iparnya. Suara riuhnya tidak menyenangkan hati Sakinah. Sesekali bahunya terhincut ke atas dek tersentak bunyi hentakkan dari bilik sebelah. Tidak lama kemudian pintu bilik Sakinah terkuak, ada tubuh tinggi sasa di pintu itu sedang memerhatikan Sakinah yang masih duduk setia di hampar sejadah menghadap satu kiblat yang sama.

"Sakinah tak nak ikut abang!"nada sedikit meninggi.
Pintu ditinggalkan terbuka. Tubuh sasa itu pergi meninggalkan Sakinah. Tanpa pamit, abangnya memandu Grand Livina mengaum sekuat mungkin lalu hilang dicelah-celah kesucian subuh. Sakinah tahu apa yang berlaku. Sakinah bukan budak kecil yang boleh dibohongi sewenangnya. Sakinah tahu apa kurangnya abang. Sedari kecil hidup sebumbung, hanya Jauhari yang bisa mengenal Manikam.

Desa yang masih menghijau. Nyanyian burung seirama dengan deruan air sungai mengalir tenang. Namun dilubuk hati entah siapa yang mengetahui. Jeti ini cukup sunyi. Sakinah menikmati keindahan sekeliling. Perjalanan menuju ke tepi jeti yang memaksanya mengharungi kebun-kebun sawit keindahan permai desa ini terkadang mendetik kegerunan lantaran kawasan kebun-kebun sawit ini luas dan sunyi. Teringat akan Sakinah mengenai kes-kes jenayah rogol dan bunuh yang pernah terpampang di dada akhbar yang mengaitkan kawasan kebun sawit sebagai tempat kejadian! Aduh! Untung perginya tadi bersama kakak ipar beriringan dengan orang kampung yang ingin pergi ke kebun masing-masing.

"Kak... malam tadi Nasrul sakit,"khabarnya.
"Dia tak apa-apa ke?"si kakak yang tadi asyik merenung jauh ke sungai yang mengalir kini mengalihkan pandangan ke wajah Sakinah yang melontarkan pertanyaan. Si kakak menepuk peha Sakinah lembut.

"Nampak macam teruklah, kak. Tak nak bawa dia ke hospital?"
"Dia memang macam tu. Dulu akak dah puas pujuk dia. Mak akak sampai menangis-nangis peluk dia. Waktu tu mulanya dia cuma demam. Tak sangka pula sampai melarat macam tu,"
"Kak.. asma boleh bawa maut tau!"
"Hurm... "terdiam sepi.

Sebenarnya dia tahu adiknya itu tidak mahu menyusahkan orang lain. Dalam diri Nasrul hanya ingin membahagiakan sebagaimana dia patut membahagiakan orang lain sejak dulu lagi. Dan sebagaimana Nasrul amat terkilan untuk membahagiakan Siti Fatimah satu ketika dulu, kerana itu ditatang Siti Fatihah bagaikan minyak yang penuh.

"Sakinah sayang Nasrul?"
"Kak!"
"Jujur dengan akak. Sakinah mahukan Nasrul?"
"Kak... Nasrul hanya wajah yang serupa. Cinta Sakinah masih utuh pada Yusuf!"
"Tapi Yusuf dah tak ada!"
"Sebagaimana akak tak dapat membohongi Sakinah yang akak masih ingat pada Amirul, begitu juga Sakinah!"
"Kak.. kalau benar Nasrul pasangan hidup untuk Sakinah, Sakinah berdoa sesungguhnya agar cinta ini untuk Nasrul. Bukan pada bayangan Yusuf,"
"Entahlah dik. Dah hampir empat tahun peristiwa itu berlaku. Bukan akak tak sayang pada suami akak. Tapi..."

Sakinah mulai berminat mengetahui lebih mendalam mengenai masalah kakak iparnya. Begitu juga persoalan mengenai peristiwa pertengkaran subuh tadi yang sebenarnya sudah berulang banyak kali sebelum ini.

"Abang tak pernah sentuh kakak,"tertunduk kesal.

Beginilah yang terjadi andai kenikmatan berumahtangga tidak berjaya dikecapi bersama. Lantaran setiap pasangan yang mendirikan masjid itu pasti menginginkan zuriat pengikat erat kasih sayang, pelengkap keluarga. Sungguh dapat Sakinah bayangkan betapa rindunya kakak akan tangisan bayi memecah kesunyian hidupnya.

Sebaik pulang dari jeti, kelihatan Nasrul duduk di tepi kolam ikan bersebelahan rumahnya. Fatihah langsung tidak kelihatan bersamanya. Mungkin ada bersama Makcik Jah, ibu Nasrul dan Kak Shila. Kak Shila mematikan enjin motorsikal Modenas Kriss biru lalu kuncinya digenggam erat. Berhati-hati Sakinah turun dari motorsikal itu kemudian diikuti pula oleh Kak Shila. Kedua-duanya bergerak menuju pintu rumah, membuka selipar masing-masing dan disusun elok-elok di tempat rak kasut.

"Kinah.."hanya kedengaran hujung namanya dipanggil.
Sakinah terhenti sebentar sebelum mengorak langkah menghampiri Nasrul. Soalan bertimpa-timpa dihatinya. Takut dimarahi, namun digagahi jua. Wajah Nasrul yang aslinya berkulit cerah itu mempamerkan keindahan. Bibirnya ketika ini kelihatan pucat sedikit dari biasanya. Sudah pastinya. Bukankah dia masih tidak begitu sihat. Sakinah kini sudah berada benar dihadapan Nasrul yang hanya duduk bertinggung di batu-batu berhampiran kolam ikan buatan sendiri.

"Kenapa semalam Kinah masih bilik abang?"
"Makcik cakap abang nak keluar tengok kedai. Lagi pun abang belum makan malam,"
"Apsal masuk tak ketuk pintu dulu?"
"Abang tak tutup pintu!"
"Kenapa tak minta izin?"
"Nak minta izin dengan siapa lagi?!"
"Tak tahu malu, masuk bilik lelaki!"
"Makcik yang suruhlah! Menyampah betul!"
"Banyaklah alasan!"
"Kalau Sakinah tahu macam inilah perangai abang, Sakinah tak ingin nak masuk bilik abang. Biar mati kering!!"

Hatiku sakit betul! Mengapa begitu teruk sekali layanannya terhadapku? Begitu rendahkah martabatku hingga dipandang hina olehnya? Benar-benar sakit ibarat Yusuf yang amatku cintai yang memperlakukan aku seperti ini.

Aduhai Yusuf.. mengapa teganya kau meninggalkan aku? Ya ALLAH, mengapa KAU ambil Yusuf dariku? Tatkala mulai membina impian menghampiri gerbang syurga dunia. Ya ALLAH... sungguh ketiadaannya meragut jiwaku. Sungguh aku merinduinya. Ya ALLAH... mengapa duri Nasrul yangku terima? Andai Nasrul yang Engkau berikan sebagai pengganti Yusuf, mengapa aku dihina sebegini? Duri ini amat menyakitkan, Ya ALLAH. Sungguh aku tidak terdaya menahan semua ini. Sungguh tidak dapatku telan pemergian Yusuf. Sungguh tidak dapatku mamah layanan hambar insan bernama Nasrullah.

Usai solat Isyak, Sakinah mengelamun sambil duduk berhampiran kolam ikan. Matanya melihat ke langit, rembulan purnama namun hakikatnya entah menerawang kemana. Maghrib tadi hujan turun rintik-rintik menjadikan malam agak dingin. Cincin itu sudah tidak dipakai ke jari. Digenggam erat sambil membiarkan wajahnya dilimpahi cahaya bulan. Sesekali dia tertunduk ke tanah kemudian merenung ke langit lagi.

Terimbau kembali ingatannya sewaktu pertama kali mengenali Yusuf. Ketika itu Sakinah masih belajar dalam semester ketiga di Kolej Komuniti Yayasan Pelajaran Johor, Segamat. Mengambil diploma jurusan Juruteknik Sistem Komputer. Sakinah yang menghabiskan cuti hujung minggunya di kampung mengambil keputusan tergesa-gesa untuk pulang ke kolej pada malam itu juga. Pada petangnya, hari Ahad, Sakinah berharap-harap agar masih ada tiket untuknya. Namun hampa. Puas di tawaf keliling kaunter bagi mendapatkan tiket bas ke destinasi yang diinginkan namun tidak juga berhasil. Dikuatkan juga semangatnya. Tidak mengapa walau terpaksa menaiki bas sambung-sambung dari Melaka ke Segamat asalkan dapat pulang ke kolej hari itu juga. Lalu dinaiki bas sambung dari Melaka Central ke Bandar Maharani kemudian terpaksa mengambil bas lain untuk ke Segamat. Namun nasib Sakinah hari itu malang sekali apabila dia terkandas di Pekan Tangkak. Alasannya, sudah petang begini bas hanya sampai di Tangkak sahaja.

Jam di tangan menunjukkan pukul 5 petang. Puas dihubungi rakan-rakan yang mempunyai kenderaan untuk menjemputnya di perhentian bas Pekan Tangkak namun tiada seorang pun yang sudi tampil membantu. Sakinah hampa. Hampir sahaja dia ingin menangis, ketika itu Yusuf datang mendekatinya.

"Assalamualaikum... awak ni nak balik Segamat?"
"Wa'alaikumussalam.. ya saya,"
"Tapi waktu-waktu macam ni mana ada bas lagi. Teksi pun susah dapatlah,"menambahkan kekesalan dihati Sakinah.
"Entahlah, saya pun tak tahu. Saya bukan orang sini,"
Sesungguhnya inilah pertama kali Sakinah menjejakkan kaki di Pekan Tangkak. Menaiki bas sambung-sambung dengan nekadnya ini pun atas ihsan orang yang membantu menunjukkan jalan.

Lalu Yusuf mempelawa dirinya untuk menghantarkan Sakinah ke tempat yang dituju. Pucuk dicita, ulam yang mendatang. Entah mengapa tanpa sebarang keraguan, Sakinah meluru masuk ke perut kereta Proton Saga Yusuf. Mungkin kerana terlalu ingin cepat pulang ke kolej, Sakinah tidak langsung kuatir mengenai keselamatan dirinya. Sedangkan Yusuf itu tidak pernah dikenalinya. Namun ternyata Yusuf seorang lelaki budiman. Sakinah selamat sampai di perkarangan kolej. Yusuf yang bimbang akan keselamatan Sakinah memberikan nombor telefonnya andai gadis itu ketinggalan bas atau terkandas di stesen bas Pekan Tangkak sekali lagi.

Lama kelamaan hubungan mulai akrab. Dari sekadar niat ikhlas membantu sesama Islam, akhirnya tercipta musim bunga yang berkembangan indah. Yusuf yang bekerja sebagai guru agama di sekolah rendah akhirnya memberanikan diri ingin mengikat gadis pilihan hatinya dengan ikatan pertunangan. Namun belum sempat pepohon berbuah, putik-putik bunga telah berguguran. Yusuf pergi menghadap Ilahi sejurus selepas baru sehari cincin pertunangan disarungkan ke jari. Lalu yang tinggal kini hanya benih cinta yang tidak menjadi.

Tubuh tinggi lampai itu bergerak laju. Meluru masuk ke kamar beradunya lalu terus berteleku pegun di katil. Benih-benih air mata yang berjuraian bagaikan asbab kebanjiran melanda dihatinya. Lalu segala bunyi mahupun apa yang terjadi langsung tidak diambil peduli.


Sepi benar senja ini
Bayunya semilir menganak ombak kecil
Jalur ufuk pula mengemas terang kapal
Dan layar terkapai

Mengapa nantikan senja
Barukan terdetik pulang ke pengkalan
Gusar malam menghampiri
Ku tewas di lautan

Tuhan.. layarkanku ke arah cintaMU
Tuntuniku menggapai redhaMU
Rimbunan kasihMU ku berteduh
kepadaMU ya Tuhan

Berikan secebis keinsafan
Bekalan sepanjang perjalanan
Mencari ketenangan...


Lagu Layar Keinsafan pun berdendang memecah kesunyian malam. Ya... malam yang benar sepi. Bukannya senja yang mendatang menghampiri. Lalu telah sekian lama layarku terkapai. Perlayaran yang gusar. Takut-takut bencana yang datang. Namun tidak sedar perjalanan mengundang malapetaka lebih besar.

Ya ALLAH... Ya Tuhanku. Mengapa pantas jauhku menjauhi Engkau, kembali semula aku padaMU, masihkah hidupku Engkau redhai? Sungguh aku yang melupaiMU kini sujud kembali memohon ampunanMU, Ya Robbi. Aku yang melupaiMU, tidak pula Engkau benci padaku. Sungguh benar jelas Engkaulah Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang terhadap hamba-hambaMU.

Si kecil Nokia 5200 dicapai sejak sekian tadinya membingitkan suasana yang tanpa disedari. Menekan punat-punat kekunci telefon bimbit dengan malasnya, terpapar SMS yang datangnya entah dari siapa. Kelihatan nombor telefon si penghantar SMS tidak biasa dilihatnya sebelum ini. Lalu terputik tanda tanya yang kemudian kian bersarang di kotak akal kewarasannya.

Tepat pukul 2.30ptg, beri Fatihah susu!

Ringkas. Ayat suruhan yang baru diterimanya; nada agak lurus. Tergambar perwatakan si pengirim SMS. Nasrul!! Ya... sudah pasti. Masakan ibu Nasrul yang lemah lembut dan penyabar itu yang mengirimkan SMS ini? Lebih-lebih lagi Mak Jah ada di rumah, tak mungkin berjalan 2-3 tapak ke biliknya pun tak mampu sehinggakan harus berutusan SMS? Tambahan pula, pandaikah Mak Jah berutusan SMS? Hati tersenyum.

Bab 1

Aku
bukan seorang yang pandai bermadah pujangga. Melakarkan puisi puitis gemersik ejaannya. Namunku punya hati untuk menyimpan perasaan, menghargai keindahan dan mencintai keindahan anugerah nikmat Tuhan. MasyaALLAH!!! Sesungguhnya takkan mungkin tercapai dek akal kewarasan kita sebagai manusia biasa ini untuk mencipta sesuatu bahkan mencipta serangga sekecil semut bagi menyamai ciptaan Maha Pencipta. Subhanallah... agungnya ciptaanMu Ya Allah Ya Tuhanku yang mencipta sekerdil tubuh semut, lalu dijadikan pula sifat si semut itu dengan kerajinan. Kadangkala aku malu dengan diriku. Punyai kudrat nikmat tubuh yang sihat namun baru sedikit ujian yang menimpaku, aku tewas.

Lahir dari sebuah keluarga yang tidak pernah berpelita ayam, sentiasa dihidangkan pelbagai kelazatan hidup, hingga kedewasaanku dihabisi oleh maksiat. Pahala yang dimamah oleh dosa. Galaknya aku mendampingi perempuan, fitnah terbesar kaum Adam. Dari Rubiah, kemudian Halimah, Syafiqah, Asiah terus kepada Mona, Caron, Zetty... Ah, terlalu banyak nama yang aku sudah lupa. Semuanya sudah menjadi jamahan hujung mingguku.

"Eh..."tersentak dari lamunan.
Jari-jemari halusnya menggenggam kuat menghentak kaki kemeja biruku.
"Nak alik!!"jeritnya.
Bola matanya jernih memantulkan bias objek yang hampir dengannya. Rambutnya halus, lurus diikat senget di atas kepala. T-shirt panjang melepasi lutut kecilnya yangku sarungkan tadi sudah dikotorinya.

"Hurm..."basah. Bau coklat. Sudah pasti air Milo yangku bekalkan buat si kecil ini sebelum keluar dari rumah sudah habis tertumpah. Dapatku bayangkan...

"Astaghfirullahal azim... budak ni!"kan betul. Habis kusyen tempat duduk sebelah tempat duduk pemandu di keretaku ini dibasahi satu botol air Milo.

"Bertuah punya budak,"getus di hati.

Dengan langkah sedikit gemalai ku hampiri bontot kereta Produa Kancil putih, membuka bonet belakang dan mengambil tuala bersih yang sentiasa ku bekalkan. Soalnya si kecil ini perlu keselesaan sepanjang masa. Mendadak kadangkala minta dimandikan.

Gemalaiku kembali melangkah menuju ke tempat duduk depan, bersebelahan tempat duduk pemandu. Pintunya sekian tadi memangku buka luas-luas agar si kecil ini bisa menghirup udara segar, suasana keindahan sekitar taman pemainan, tepian muara sungai di bandar yang hampir serba pesat. Selesai ku alasi tempat duduk itu hingga ku pasti tidak akan terbit kekotorannya tatlkala si kecil ini ku dudukkan di sini.

Jalan-jalan sekitar Perhentian Bas Bentayan, Jambatan Sultan Ismail memang sentiasa sibuk sejak aku kecil lagi. Bandar Maharani yang cukup terkenal dengan hidangan Mee Bandung Muar ini hanya mungkin lengang pada waktu hampir subuh dan sepertiga malam. Saat ini pemanduan kenderaan masing-masing ibarat merangkak. Dikesempatan ini dapatku nikmati suasana sekeliling; kenderaan yang memenuhi jalan, namun tak sepesat membangun Bandaraya Kuala Lumpur.

Sesekaliku mengerling ke arah si kecil di sebelahku, di kerusi bayi. Mata kecilnya tertutup rapat dan tangannya yang masih erat menggenggam kain tuala kecil yang digelarnya 'Cuk'. Dengan pakaian yang baruku belikan di Wetex Parade tadi, tubuhnya sudahku sirami air sebersihnya, bedak tepung yang mewangi serta sapuan sedikit minyak angin Yu Yee Cap Limau, sudah pasti amat selesa beradu.

Tatkala melepasi kawasan Tanjung Agas, Kancil ku pandu laju. Jam di dashboard sudah menunjukkan hampir jam 6 petang. Aku mahu cepat pulang ke rumah. Tak mahu aku membiarkan si ibu menunggu lama. Barang-barang yang dipesan oleh ibu sudahku dapatkan semuanya. Katanya Kak Shila akan pulang ke kampung menjenguk ibu sejak agak lama juga sudah tinggal bersama suaminya di Melaka. Oleh itu ibu membuat sedikit persiapan.

Lebih kurang pukul 6.45 petang aku sudah berada di rumah. Si kecilku masih lena dibuai mimpi. Laluku bawanya perlahan-lahan masuk ke kamar beraduku. Ku baringkan dia di katil khas kanak-kanak. Dengan sepenuh kasih sayangku meleraikan ikatan kelambu putih melepasi kaki katilnya. Dari samar-samar itu ku tatapi wajahnya. Walaupun lena tidur, aku tetap tidak dapat melupakan keindahan yang terpancar di kedua anak matanya. Di situ ada kenangan terindah milik seseorang. Seorang insan yang tidakku damba kewujudannya. Seorang insan yang ku ratapi pemergiannya. Seorang insan yangku cintai hanya dengan nikmat seketika. Seorang insan yang tubuhnya tidak bisa kurangkul mesra di birai perkahwinan.

"Nas!!"...
Si kecil mula bergerak-gerak. Mungkin agak terkejut, tidurnya terganggu.
"Nas!!"
"Ya!! Tunggu kejap,"tangan kasarnya menepuk-nepuk punggung si kecil, mendodoi agar maranya kembali menutup rapat.

Berhati-hati kaki menyusun langkah menuruni anak tangga menuju ruang tamu. Mata melingas mencari pemilik suara yang memanggil namanya sebentar tadi. Langkah demi langkah lama kelamaan terhenti. Di ruang tamu ada empat tubuh bernyawa, yang matanya masing-masing cerlang memerhatikan dirinya yang baru sahaja muncul. Tiga darinya, dia kenal. Ibu, Abang Karim dan Kak Shila. Seorang lagi, entah siapa. Tubuh tinggi lampai, lebih tinggi dari tubuhnya sendiri. Berbaju blaus labuh tanah coklat bergaris-garis putih menegak, bertudung labuh menutupi auratnya serta berseluar jeans. Solekkan di wajah hampir tidak kelihatan. Hujung-hujung jarinya jingga kemerahan.

Langkah kakinya Nasrul di mulai lagi, menghampiri Abang Karim. Dengan adab Nasrul bersalaman dan tidak lupa mencium tangan abang iparnya, mesra sekali.

"Nas... ni adik abang, Sakinah,"Abang Karim mulai bicara.
"Kak..."Nasrul memandang Kak Shila dengan penuh makna.
"Dik, Sakinah datang sekadar untuk habiskan masa lapang kat sini,"
"Kat bandar tu dah terlalu sesak sampaikan tak sempat nak bercucuk tanam,"sampuk Sakinah.
"Eh.. takkan Sakinah nak menoreh?"si ibu mencelah.
"Alah, loading sawit pun jadilah, makcik,"tawa berderai.
Nasrul masih lagi membeku. Senyum pun tidak, monyok pun tidak.

Usai solat maghrib bersama-sama, Nasrul terus berlari mendapatkan Fatihah yang kedengaran suaranya menangis. Sejak pulang dari bandar langsung tidak dijengah si kecil itu. Bimbang mengganggu lenanya. Kini mungkin tangisnya kerana sudah lapar. Tubuh Nasrul muncul di dapur. Dengan cekap dia menyediakan hidangan buat santapan Siti Fatihah. Tidak ketinggalan sebotol susu hangat untuk kecerdasan minda si kecil.

"Dik, tak join sekali?"tanya Karim, mengajak Nasrul makan malam bersama.
"Untuk Fatihah dulu, bang,"meluru pergi.

Demi Siti Fatihah, Nasrullah sanggup lakukan apa-apa sahaja. Biarpun anak itu masih terlalu kecil untuk mengerti erti kehidupan, pengorbanan mahupun kasih sayang yang tercipta. Sesungguhnya Siti Fatihah adalah jambatan kasih antara Nasrullah dan insan bernama Siti Fatimah.

Sebagaimana berdukanya Rasulullah SAW terhadap pemergian Saidatina Khadijah dan tahun kepergian beliau menjadi tahun kesedihan Rasulullah SAW, begitu juga Nasrullah. Namun bezanya, Siti Fatimah bukan sayap kirinya. Cintanya pada Siti Fatimah tak mampu diabadi. Hanya Siti Fatihah, hadiah cinta teragung, anugerah ALLAH, amanah yang harus dipegang erat. Biar susah, biar perit, biar pedih tetap dijalani hidup dengan bersemangat hanya kerana Siti Fatihah.

"Assalamualaikum, boleh saya duduk di sini?"
Dengan jawapan sekadar menganggukkan kepala, Sakinah terus duduk. Suasana di taman cukup damai dengan keriangan anak-anak kecil bermain, berkejar-kejaran memijak rumput segar yang menghijau lebat.

"Awak suka budak-budak ya?"
"Comelnya baby... siapa namanya?"tanya Sakinah lagi menggiat.
"Siti Fatihah,"
"Oh... panggil Siti lah ya?"
"Fatihah!!"matanya galak merenung Sakinah hingga membuatkan gadis itu sedikit tersentah.

Sakinah menghitung sendiri di dalam hati. Apakah silapnya sehingga Nasrul begitu hambar melayaninya. Sudah hampir seminggu dia bercuti di kampung ini namun tidak pernah sekalipun Nasrul melayaninya dengan baik. Hanya sesekali tanpa disengajakan Sakinah ternampak senyuman Nasrul tatkala melayani Siti Fatihah.

Barakallahu Lakuma


About Me

My photo
seorang anak yang mendambakan dirinya menjadi anak yang solehah.. seorang perempuan yang mendambakan dirinya menjadi isteri solehah.. seorang manusia yang mendambakan dirinya menjadi ibu mithali.. insyaALLAH, mohon ALLAH berkati..

Blog Archive