Bab 2


 






Di keheningan malam yang kedinginannya mencengkam erat peparu. Menyesakkan nafas, menghimpit di dadanya. Sesekali mata melirik ke muka jam di dinding. Peluh menitik membasahi baju melayu padanan serona warna dengan kain pelikat yang disarungkan ke badan sewaktu ingin menunaikan solat isyak tadi. Nafas cuba dikawal sebaik mungkin agar kembali normal. Tangan-tangannya yang sekian tadi menggeletar kini mulai terasa ingin kaku sedikit. Dia memejamkan mata erat-erat.

"Nas..."tiba-tiba terasa dadanya dibelai lembut.
"Sakit ya?"kedengaran lagi suara yang sama. Lantaran memaksa matanya melihat akan siapa pemilik suara itu. Nafasnya tidak mengencang, namun sakitnya tetap terasa.

Pemilik suara ini begitu baru dia kenali. Nasrul bersoal tanya di dalam hati mengenai mengapa begitu berani gadis ini menerjah kamarnya, di malam sunyi seperti ini? Jam sudah menunjukkan pukul 3pagi, apakah yang gadis ini mahukan darinya? Namun kesakitan melarat mengunci kuat bibirnya dari mengeluarkan kata-kata.

Gadis ini mengarahkannya duduk dengan tegak, bersandar di kepala katil dan mengajarnya bernafas perlahan-lahan. Sekali dia suakan pam 'inhealer' di tangan Nasrul tadi ke mulut lelaki itu lalu dituntun lagi nafasnya. Dua kali disuakan lagi pam 'inhealer' hampir ke mulut Nasrul, lama-kelamaan mulai lega.

"Dah okay?"tanya si gadis yang kemudian dibalas dengan reaksi hanggukkan kepala sahaja oleh Nasrul. Melemparkan senyuman lalu gadis itu terus meninggalkan Nasrul sendirian.


***


Alarm di telefon bimbit Nokia 5200 Sakinah menjerit memecah pintu lamunan mimpinya. Rutinnya, Sakinah terus bangkit mengambil sesuci wuduk untuk menunaikan solat subuh. Seusai solat subuh, Sakinah berdoa demi kesejahteraan hidupnya kemudian disambung pula dengan bacaan Surah Yaasiin.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Siapa yang membaca Surah Yaasiin di permulaan hari, segala hajatnya bagi hari itu akan dipenuhi" -(Hadis Riwayat Ad-Darimi)

Belum sempat pun Sakinah menamatkan bacaannya, kedengaran sedikit riuh di bilik sebelah, iaitu bilik abang serta kakak iparnya. Suara riuhnya tidak menyenangkan hati Sakinah. Sesekali bahunya terhincut ke atas dek tersentak bunyi hentakkan dari bilik sebelah. Tidak lama kemudian pintu bilik Sakinah terkuak, ada tubuh tinggi sasa di pintu itu sedang memerhatikan Sakinah yang masih duduk setia di hampar sejadah menghadap satu kiblat yang sama.

"Sakinah tak nak ikut abang!"nada sedikit meninggi.
Pintu ditinggalkan terbuka. Tubuh sasa itu pergi meninggalkan Sakinah. Tanpa pamit, abangnya memandu Grand Livina mengaum sekuat mungkin lalu hilang dicelah-celah kesucian subuh. Sakinah tahu apa yang berlaku. Sakinah bukan budak kecil yang boleh dibohongi sewenangnya. Sakinah tahu apa kurangnya abang. Sedari kecil hidup sebumbung, hanya Jauhari yang bisa mengenal Manikam.

Desa yang masih menghijau. Nyanyian burung seirama dengan deruan air sungai mengalir tenang. Namun dilubuk hati entah siapa yang mengetahui. Jeti ini cukup sunyi. Sakinah menikmati keindahan sekeliling. Perjalanan menuju ke tepi jeti yang memaksanya mengharungi kebun-kebun sawit keindahan permai desa ini terkadang mendetik kegerunan lantaran kawasan kebun-kebun sawit ini luas dan sunyi. Teringat akan Sakinah mengenai kes-kes jenayah rogol dan bunuh yang pernah terpampang di dada akhbar yang mengaitkan kawasan kebun sawit sebagai tempat kejadian! Aduh! Untung perginya tadi bersama kakak ipar beriringan dengan orang kampung yang ingin pergi ke kebun masing-masing.

"Kak... malam tadi Nasrul sakit,"khabarnya.
"Dia tak apa-apa ke?"si kakak yang tadi asyik merenung jauh ke sungai yang mengalir kini mengalihkan pandangan ke wajah Sakinah yang melontarkan pertanyaan. Si kakak menepuk peha Sakinah lembut.

"Nampak macam teruklah, kak. Tak nak bawa dia ke hospital?"
"Dia memang macam tu. Dulu akak dah puas pujuk dia. Mak akak sampai menangis-nangis peluk dia. Waktu tu mulanya dia cuma demam. Tak sangka pula sampai melarat macam tu,"
"Kak.. asma boleh bawa maut tau!"
"Hurm... "terdiam sepi.

Sebenarnya dia tahu adiknya itu tidak mahu menyusahkan orang lain. Dalam diri Nasrul hanya ingin membahagiakan sebagaimana dia patut membahagiakan orang lain sejak dulu lagi. Dan sebagaimana Nasrul amat terkilan untuk membahagiakan Siti Fatimah satu ketika dulu, kerana itu ditatang Siti Fatihah bagaikan minyak yang penuh.

"Sakinah sayang Nasrul?"
"Kak!"
"Jujur dengan akak. Sakinah mahukan Nasrul?"
"Kak... Nasrul hanya wajah yang serupa. Cinta Sakinah masih utuh pada Yusuf!"
"Tapi Yusuf dah tak ada!"
"Sebagaimana akak tak dapat membohongi Sakinah yang akak masih ingat pada Amirul, begitu juga Sakinah!"
"Kak.. kalau benar Nasrul pasangan hidup untuk Sakinah, Sakinah berdoa sesungguhnya agar cinta ini untuk Nasrul. Bukan pada bayangan Yusuf,"
"Entahlah dik. Dah hampir empat tahun peristiwa itu berlaku. Bukan akak tak sayang pada suami akak. Tapi..."

Sakinah mulai berminat mengetahui lebih mendalam mengenai masalah kakak iparnya. Begitu juga persoalan mengenai peristiwa pertengkaran subuh tadi yang sebenarnya sudah berulang banyak kali sebelum ini.

"Abang tak pernah sentuh kakak,"tertunduk kesal.

Beginilah yang terjadi andai kenikmatan berumahtangga tidak berjaya dikecapi bersama. Lantaran setiap pasangan yang mendirikan masjid itu pasti menginginkan zuriat pengikat erat kasih sayang, pelengkap keluarga. Sungguh dapat Sakinah bayangkan betapa rindunya kakak akan tangisan bayi memecah kesunyian hidupnya.

Sebaik pulang dari jeti, kelihatan Nasrul duduk di tepi kolam ikan bersebelahan rumahnya. Fatihah langsung tidak kelihatan bersamanya. Mungkin ada bersama Makcik Jah, ibu Nasrul dan Kak Shila. Kak Shila mematikan enjin motorsikal Modenas Kriss biru lalu kuncinya digenggam erat. Berhati-hati Sakinah turun dari motorsikal itu kemudian diikuti pula oleh Kak Shila. Kedua-duanya bergerak menuju pintu rumah, membuka selipar masing-masing dan disusun elok-elok di tempat rak kasut.

"Kinah.."hanya kedengaran hujung namanya dipanggil.
Sakinah terhenti sebentar sebelum mengorak langkah menghampiri Nasrul. Soalan bertimpa-timpa dihatinya. Takut dimarahi, namun digagahi jua. Wajah Nasrul yang aslinya berkulit cerah itu mempamerkan keindahan. Bibirnya ketika ini kelihatan pucat sedikit dari biasanya. Sudah pastinya. Bukankah dia masih tidak begitu sihat. Sakinah kini sudah berada benar dihadapan Nasrul yang hanya duduk bertinggung di batu-batu berhampiran kolam ikan buatan sendiri.

"Kenapa semalam Kinah masih bilik abang?"
"Makcik cakap abang nak keluar tengok kedai. Lagi pun abang belum makan malam,"
"Apsal masuk tak ketuk pintu dulu?"
"Abang tak tutup pintu!"
"Kenapa tak minta izin?"
"Nak minta izin dengan siapa lagi?!"
"Tak tahu malu, masuk bilik lelaki!"
"Makcik yang suruhlah! Menyampah betul!"
"Banyaklah alasan!"
"Kalau Sakinah tahu macam inilah perangai abang, Sakinah tak ingin nak masuk bilik abang. Biar mati kering!!"

Hatiku sakit betul! Mengapa begitu teruk sekali layanannya terhadapku? Begitu rendahkah martabatku hingga dipandang hina olehnya? Benar-benar sakit ibarat Yusuf yang amatku cintai yang memperlakukan aku seperti ini.

Aduhai Yusuf.. mengapa teganya kau meninggalkan aku? Ya ALLAH, mengapa KAU ambil Yusuf dariku? Tatkala mulai membina impian menghampiri gerbang syurga dunia. Ya ALLAH... sungguh ketiadaannya meragut jiwaku. Sungguh aku merinduinya. Ya ALLAH... mengapa duri Nasrul yangku terima? Andai Nasrul yang Engkau berikan sebagai pengganti Yusuf, mengapa aku dihina sebegini? Duri ini amat menyakitkan, Ya ALLAH. Sungguh aku tidak terdaya menahan semua ini. Sungguh tidak dapatku telan pemergian Yusuf. Sungguh tidak dapatku mamah layanan hambar insan bernama Nasrullah.

Usai solat Isyak, Sakinah mengelamun sambil duduk berhampiran kolam ikan. Matanya melihat ke langit, rembulan purnama namun hakikatnya entah menerawang kemana. Maghrib tadi hujan turun rintik-rintik menjadikan malam agak dingin. Cincin itu sudah tidak dipakai ke jari. Digenggam erat sambil membiarkan wajahnya dilimpahi cahaya bulan. Sesekali dia tertunduk ke tanah kemudian merenung ke langit lagi.

Terimbau kembali ingatannya sewaktu pertama kali mengenali Yusuf. Ketika itu Sakinah masih belajar dalam semester ketiga di Kolej Komuniti Yayasan Pelajaran Johor, Segamat. Mengambil diploma jurusan Juruteknik Sistem Komputer. Sakinah yang menghabiskan cuti hujung minggunya di kampung mengambil keputusan tergesa-gesa untuk pulang ke kolej pada malam itu juga. Pada petangnya, hari Ahad, Sakinah berharap-harap agar masih ada tiket untuknya. Namun hampa. Puas di tawaf keliling kaunter bagi mendapatkan tiket bas ke destinasi yang diinginkan namun tidak juga berhasil. Dikuatkan juga semangatnya. Tidak mengapa walau terpaksa menaiki bas sambung-sambung dari Melaka ke Segamat asalkan dapat pulang ke kolej hari itu juga. Lalu dinaiki bas sambung dari Melaka Central ke Bandar Maharani kemudian terpaksa mengambil bas lain untuk ke Segamat. Namun nasib Sakinah hari itu malang sekali apabila dia terkandas di Pekan Tangkak. Alasannya, sudah petang begini bas hanya sampai di Tangkak sahaja.

Jam di tangan menunjukkan pukul 5 petang. Puas dihubungi rakan-rakan yang mempunyai kenderaan untuk menjemputnya di perhentian bas Pekan Tangkak namun tiada seorang pun yang sudi tampil membantu. Sakinah hampa. Hampir sahaja dia ingin menangis, ketika itu Yusuf datang mendekatinya.

"Assalamualaikum... awak ni nak balik Segamat?"
"Wa'alaikumussalam.. ya saya,"
"Tapi waktu-waktu macam ni mana ada bas lagi. Teksi pun susah dapatlah,"menambahkan kekesalan dihati Sakinah.
"Entahlah, saya pun tak tahu. Saya bukan orang sini,"
Sesungguhnya inilah pertama kali Sakinah menjejakkan kaki di Pekan Tangkak. Menaiki bas sambung-sambung dengan nekadnya ini pun atas ihsan orang yang membantu menunjukkan jalan.

Lalu Yusuf mempelawa dirinya untuk menghantarkan Sakinah ke tempat yang dituju. Pucuk dicita, ulam yang mendatang. Entah mengapa tanpa sebarang keraguan, Sakinah meluru masuk ke perut kereta Proton Saga Yusuf. Mungkin kerana terlalu ingin cepat pulang ke kolej, Sakinah tidak langsung kuatir mengenai keselamatan dirinya. Sedangkan Yusuf itu tidak pernah dikenalinya. Namun ternyata Yusuf seorang lelaki budiman. Sakinah selamat sampai di perkarangan kolej. Yusuf yang bimbang akan keselamatan Sakinah memberikan nombor telefonnya andai gadis itu ketinggalan bas atau terkandas di stesen bas Pekan Tangkak sekali lagi.

Lama kelamaan hubungan mulai akrab. Dari sekadar niat ikhlas membantu sesama Islam, akhirnya tercipta musim bunga yang berkembangan indah. Yusuf yang bekerja sebagai guru agama di sekolah rendah akhirnya memberanikan diri ingin mengikat gadis pilihan hatinya dengan ikatan pertunangan. Namun belum sempat pepohon berbuah, putik-putik bunga telah berguguran. Yusuf pergi menghadap Ilahi sejurus selepas baru sehari cincin pertunangan disarungkan ke jari. Lalu yang tinggal kini hanya benih cinta yang tidak menjadi.

Tubuh tinggi lampai itu bergerak laju. Meluru masuk ke kamar beradunya lalu terus berteleku pegun di katil. Benih-benih air mata yang berjuraian bagaikan asbab kebanjiran melanda dihatinya. Lalu segala bunyi mahupun apa yang terjadi langsung tidak diambil peduli.


Sepi benar senja ini
Bayunya semilir menganak ombak kecil
Jalur ufuk pula mengemas terang kapal
Dan layar terkapai

Mengapa nantikan senja
Barukan terdetik pulang ke pengkalan
Gusar malam menghampiri
Ku tewas di lautan

Tuhan.. layarkanku ke arah cintaMU
Tuntuniku menggapai redhaMU
Rimbunan kasihMU ku berteduh
kepadaMU ya Tuhan

Berikan secebis keinsafan
Bekalan sepanjang perjalanan
Mencari ketenangan...


Lagu Layar Keinsafan pun berdendang memecah kesunyian malam. Ya... malam yang benar sepi. Bukannya senja yang mendatang menghampiri. Lalu telah sekian lama layarku terkapai. Perlayaran yang gusar. Takut-takut bencana yang datang. Namun tidak sedar perjalanan mengundang malapetaka lebih besar.

Ya ALLAH... Ya Tuhanku. Mengapa pantas jauhku menjauhi Engkau, kembali semula aku padaMU, masihkah hidupku Engkau redhai? Sungguh aku yang melupaiMU kini sujud kembali memohon ampunanMU, Ya Robbi. Aku yang melupaiMU, tidak pula Engkau benci padaku. Sungguh benar jelas Engkaulah Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang terhadap hamba-hambaMU.

Si kecil Nokia 5200 dicapai sejak sekian tadinya membingitkan suasana yang tanpa disedari. Menekan punat-punat kekunci telefon bimbit dengan malasnya, terpapar SMS yang datangnya entah dari siapa. Kelihatan nombor telefon si penghantar SMS tidak biasa dilihatnya sebelum ini. Lalu terputik tanda tanya yang kemudian kian bersarang di kotak akal kewarasannya.

Tepat pukul 2.30ptg, beri Fatihah susu!

Ringkas. Ayat suruhan yang baru diterimanya; nada agak lurus. Tergambar perwatakan si pengirim SMS. Nasrul!! Ya... sudah pasti. Masakan ibu Nasrul yang lemah lembut dan penyabar itu yang mengirimkan SMS ini? Lebih-lebih lagi Mak Jah ada di rumah, tak mungkin berjalan 2-3 tapak ke biliknya pun tak mampu sehinggakan harus berutusan SMS? Tambahan pula, pandaikah Mak Jah berutusan SMS? Hati tersenyum.

0 comments:

Post a Comment

Barakallahu Lakuma


About Me

My photo
seorang anak yang mendambakan dirinya menjadi anak yang solehah.. seorang perempuan yang mendambakan dirinya menjadi isteri solehah.. seorang manusia yang mendambakan dirinya menjadi ibu mithali.. insyaALLAH, mohon ALLAH berkati..

Blog Archive